Pengenalan
Ulama bermaksud orang yang pakar dalam ilmu agama Islam. Golongan ulama ini adalah golongan yang berkemahiran dalam pelbagai bidang ilmu seperti tauhid, usuluddin, dan yang paling dititikberatkan ialah tiga bidang ilmu iaitu; akidah, fiqh dan tasawuf. Kepelbagaian disiplin ilmu ini dikembangkan melalui pelbagai tindakan dan cara. Sebagai seorang yang berpengetahuan luas dalam bidang keagamaan, ulama tidak sahaja memiliki tanggungjawab ilmiah tetapi juga bertanggungjawab secara moral dan sosial budaya setempat. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Nabi dalam sebuah hadis yang telah cukup dikenali bahawa “ulama adalah sebagai pewaris Nabi.” Keterlibatan ulama yang diangkat menjadi muallim, muaddib, mudarris, imam dan syeikh dalam bidang pendidikan malah ulama juga diberi kepercayaan dalam mengurustadbir ekonomi dalam sesebuah institusi. Kelancaran pengurusan dalam kalangan ulama ini turut mendapat perhatian apabila wujudnya bidang ekonomi syariah dalam institusi perbankan. Ulama berperanan antaranya sebagai penasihat syariah, pakar rujuk dalam akad-akad syariah, mengeluarkan fatwa-fatwa yang terkait dengan ekonomi syariah melalui ijtihad, mengawal dan menjamin seluruh produk perbankan dan kewangan syariah dijalankan sesuai dengan syariah.
Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara 2017 (PAnTUMN2017) dirancang untuk kali kedua ini yang lebih terarah kepada penglibatan para ulama dalam institusi Islam di seluruh Nusantara. Persidangan ini kesinambungan dengan PAnTUMN2015 lalu yang telah berjaya mengumpul 70 kertas kerja penuh. Tema PAnTUMN2015 lebih terbuka dalam pelbagai bidang.
Pewajaran perbincangan tokoh-tokoh ulama Melayu Nusantara diketengahkan dalam persidangan yang akan diadakan nanti ialah supaya dapat menarik lebih ramai lagi generasi kini untuk mendekati para Ulama dan secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat yang berilmu serta cinta akan agama Islam sendiri.