PENGENALAN

Murid yang dididik secara holistik dalam pengurusan sekolah yang cekap berupaya mencapai potensi diri yang sepenuhnya dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggunggjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Kemenjadian murid daripada segi akademik berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan, manakala daripada segi kokurikulum berdasarkan pencapaian sekolah dalam aktiviti kelab, persatuan, badan beruniform dan sukan. Selain itu, fokus kemenjadian dalam aspek sahsiah pelajar.

Guru yang menjadi dan berkesan di sekolah ialah guru yang sentiasa ceria, gembira dengan kerjanya, menghormati ketua, mematuhi arahan, senang bergaul, sentiasa memberi, kerjasama, sensitif dengan persekitaran dan dapat menjelmakan bakat serta kebolehan untuk kebaikan organisasi sekolah. Sementara guru yang menjadi dan berkesan di dalam kelas ialah guru yang memahami dan kenal muridnya, seronok dan sukakan muridnya, menguasai kemahiran, mempelbagaikan kaedah, model yang disukai murid, sentiasa memberi motivasi dan kecindan.

Justeru itu, Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Seminar Antarabangsa Isu-Isu Pendidikan 2019. Seminar ini merupakan kesinambungan daripada beberapa seminar berkaitan isu-isu pendidikan yang diadakan sebelum ini. Persidangan ini diadakan dengan harapan dapat mewujudkan peluang dan ruang dalam berganding tenaga dan idea dalam mendepani cabaran semasa pendidikan dan membentuk keperibadian pelajar yang berkompetensi, kreatif dan kritis mengikut acuan pendidikan.