TUJUAN
Seminar dan muzakarah ini dianjurkan untuk memartabatkan metodologi ahli hadis sama ada klasik mahu pun kontemporari, di samping mampu menggarap dan menangani isu-isu semasa yang timbul berdasarkan metode dan pendekatan ahli hadis. Ia juga penting untuk membincangkan tentang kerelevenan metodologi ahli hadis terutama pada era globalisasi ini.

LATAR BELAKANG
Pengajian hadis adalah sesuatu yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat, sama ada melibatkan ahli akademik, orang awam atau pelajar di setiap peringkat. Salah satu aspek penting dalam pengajian hadis adalah untuk memahami metodologi ahli hadis dengan cara yang betul dan tepat sebagaimana yang sewajarnya.

Menyedari keperluan ini, maka muncullah kebelakangan ini banyak perbincangan tentang metodologi ahli hadis. Namun, perbincangannya masih banyak terbatas kepada ahli bidang semata-mata dan pengaplikasian hasilnya masih belum melangkau jauh ke tengah-tengah masyarakat.

Pada era globalisasi ini, semakin banyak karya-karya hadis yang dicetak dan disebar secara lebih meluas dan memerlukan kefahaman masyarakat yang jelas mengenai metodologi setiap satunya. Sekiranya keperluan ini dinafikan, maka akan lahirlah banyak kepincangan dalam berinteraksi dengan sumber-sumber rujukan yang amat banyak ini. Maka, menjadi kewajipan kepada para sarjana dan cendikiawan untuk menjelaskan aspek penting ini, di samping menghubungkannya seiring dengan tuntutan arus semasa.

Jelasnya, metodologi ahli hadis perlu dilihat bukan sahaja dari aspek pembukuan dan penyusunan semata-mata, tetapi meliputi pelbagai isu metode dan pendekatan ilmiah yang sentiasa releven. Cabaran untuk mengaplikasi metodologi ahli hadis dalam konteks globalisasi ini adalah cabaran yang mesti disahut oleh semua pihak sekaligus membantu masyarakat dalam memahami cara berinteraksi dengan khazanah turath hadis dengan lebih efektif.

Bertitik tolak dari sini, INHAD akan menganjurkan satu persidangan yang menjadi kesinambungan kepada tiga siri sebelumnya iaitu 4th INHAD International Muzakarah & Mu’tamar On Hadith  (IMAM 2019) dengan tema “Mengkorelasi Metodologi Ahli Hadis Dalam Wacana Globalisasi”.

Semoga penganjuran ini akan mendapat penyertaan dan sambutan dari para penyelidik khususnya dan masyarakat Islam amnya, ke arah mengukuhkan pengajian hadis khususnya di Rantau Nusantara.